comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor terima 200 pelaburan projek berimpak tinggi bagi suku pertama 2024

JOHOR BAHRU: Di sebalik kemerosotan nilai ringgit, Johor menerima 200 pelaburan projek berimpak tinggi bagi suku pertama tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan Hal-Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, 4 sektor utama yang menerima pelaburan terbanyak sebelum ini adalah pembuatan eketrik dan elektronik, pemprosesan makanan, kimia dan petrokimia.

 

“Sehingga 31 Mac iaitu dua hari lepas, suku pertama untuk tahun 2024 kita dapat melulus 200 lebih projek maka untuk tahun ini kita juga agak optimis bahawa negeri Johor akan mencatatkan satu pembangunan ekonomi yang sangat pantas kerana di Johor kita ada beberapa projek besar yang telah pun dirancang” katanya yang ditemui selepas meninjau bazar Ramadan, di Taman Perling, petang semalam.

Katanya, antara projek domestik yang akan dilaksanakan termasuklah pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan PLUS yang akan dimulakan pada bulan Jun.

Pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru yang akan dimulakan bulan September depan.

Kerajaan Johor juga tambahnya, akan menandatangani perjanjian khas dengan Singapura berkaitan zon ekonomi khas Johor-Singapura.

Kerajaan negeri tegasnya yakin melalui kerjasama sektor swasta pelaburan di Johor akan terus bertambah pada masa akan datang.

Sepanjang tempoh 6 bulan pertama tahun lalu, Johor meraih pelaburan bernilai RM14.23 billion.

Daripada jumlah itu, RM3.347 bilion (23.5 peratus) adalah daripada sektor pembuatan, manakala RM10.884 bilion (76.5 peratus) daripada sektor perkhidmatan.

Menerusi pelaburan itu, sebanyak 422 projek diluluskan dan dapat mewujudkan 6,898 peluang pekerjaan.

Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Johor antara negeri yang dijangka mengalami peralihan atau penstrukturan rantaian bekalan atau perindustrian di rantau ini akibat saingan perdagangan antara Amerika Syarikat – China.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini