comscore
Tumpuan :
Nasional

COVID-19: Pemantauan di sempadan Johor-Singapura ditingkat

Oleh: Zahir Senapiah

YONG PENG: Kerajaan negeri Johor meningkatkan pemantauan kesihatan di dua pintu sempadan dengan Singapura bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, semua pelancong asing serta warga tempatan termasuk yang bekerja di negara jiran diwajib menjalani pemeriksaan suhu badan yang ditempatkan di laluan masuk di kedua-dua bangunan berkenaan.

Katanya, 4 pegawai kesihatan ditugaskan mengikut syif di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin C-I-Q Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Iskandar Puteri.

“Kalau ada tanda tanda atau simptom contohnya demam ke apa kami boleh ambil saringan ini dan tindakan susulan sewajarnya,” katanya kepada Buletin TV3 di pusat khidmat wakil rakyat Parlimen Ayer hitam, hari ini.

Beliau turut mengesahkan setakat ini, lebih 90 peratus kes di negeri itu  berpunca daripada jangkitan tempatan.

Beliau yang juga ADUN Yong Peng berkata, ketika ini, 123 pesakit Covid-19 dirawat di hospital di Johor dengan tiga pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Setakat Sabtu lalu, secara kumulatif terdapat lebih 404,000 kes  dilaporkan di Johor dan kebanyakannya  adalah jangkitan tempatan.

Johor merekodkan satu korban kes Covid-19 pada minggu epidemiologi ke-51, 17 hingga 23 Disember lalu.

Orang ramai digalak memakai pelitup muka selain mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak dekat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini