comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Jom Ziarah Gereja’, polis panggil Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung siasatan penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya akan memanggil Hannah dalam masa terdekat.

“Kita juga akan merakam keterangan Chegubard (Badrul Hisham Shaharin), hari ini bagi membantu siasatan.

“Kita sudah merakam keterangan tiga individu, yang terdiri daripada pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai memberitahu setakat ini,  dua laporan polis diterima berkaitan isu berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, mengesahkan satu kertas siasatan dibuka berhubung penganjuran program itu.

Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan, program ‘Jom Ziarah Gereja’, yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu, tidak membabitkan individu beragama Islam.

Beliau berkata program itu bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat negara ini adalah sama rata.

Inisiatif program di bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia itu, dikatakan bertujuan membuka minda golongan belia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.

Program yang sepatutnya berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, bagaimanapun dibatalkan penganjur.

Loading...
Terkini