comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

‘Jong Hujung Benua’ kisah permainan tradisional nusantara

PETALING JAYA: Nun jauh di selatan Malaysia, ada kisah permainan tradisional nusantara yang dimainkan oleh komuniti nelayan ketika melepas lelah dari getir kehidupan.

Dimainkan di daerah Kota Tinggi dan juga Pontian, Johor, perahu layar tanpa pengemudi dikenali jong dilepaskan ke laut untuk beradu kepakaran. Disambut mesra oleh badai laut, ia menderu laju menuju ke garisan penamat.

Jong adalah sejenis kapal bangsa melayu yang digunakan sebagai kapal perang dan juga kapal dagang sekitar kurun ke 15. Ketika era Kesultanan Melayu Johor Riau, jong dijadikan replika dan dimainkan oleh masyarakat nelayan.

Ia sering dimainkan ketika laut bergelora dan tidak selamat untuk nelayan pergi ke tengah lautan.

Pengerusi Kelab Jong Pontian, Mohd Tahir Abdul Hamid berkata jong telah dimainkan berpuluh tahun lamanya, namun tidak terlalu dikomersialkan.

Sejak penubuhan Kelab Jong Pontian pada Mac 2023, ia mula diperkembangkan melalui pameran, pertandingan dan juga media sosial dan sejak daripada itu, permainan tradisional ini semakin mendapat perhatian kebanyakan mereka yang bertandang dan melihat.

“Sebenarnya ramai yang bertanya tentang jong ini sebab mereka tidak tahu. Tetapi selepas mereka mengenali mereka berasa kagum kerana permainan tradisional ini bergantung kepada angin, tidak mempunya ‘remote’ dan sebagainya. Hanya kepakaran individu itu untuk melayari permainan ini.

“Jadi perlu menguasai setiap bahagian jong ini baru kita boleh menguasai permainan jong ini, arah mata angin dan sebagainya,” kata Mohd Tahir dalam program Majalah 3.

Selain angin, permainan Jong juga bergantung kepada pasang surutnya air laut. Ia sesuai dimainkan ketika air pasang besar berikutan arus dan angin yang kuat.

Untuk menghasilkan jong sangat rumit, setiap bahagian bergantung antara satu sama lain. Namun untuk bermain jong tidak susah, hanya perlu kepakaran menetapkan kemudi dan membaca angin.

Bagi pemainnya, kepuasan melihat jong pergi laju hanya boleh dirasai jika dilepaskan sendiri.

“Siapa yang sudah ada jong, yang sudah lepas atau yang sudah tengok jong itu pergi macam mana, dia akan tahu macam mana jong itu pergi. Macam pemilik dan pemain jong, kalau jong itu pergi laju macam kehendak tuan dia, dekat hati itu rasa banyak bunga sebab kita nampak jong itu laju macam mana pergi,” kata seorang daripada tukang jong, Mohd Farid Abdullah.

Dari pohon ke bakal, dari gandar ke layar, setiap komponen saling bertautan, melengkapi dan berfungsi, menjadi sebuah jong yang sempurna.

Seni pembuatannya adalah halus, simetri dan seimbang menjadi pegangan,begitu juga harapan si pemain, agar jong sentiasa mendapat sokongan dan kekal relevan supaya dapat diwarisi zaman berzaman.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai permainan tradisional jong, saksikan Majalah 3 ‘Jong Hujung Benua’ pada jam 9 malam ini di TV3.

Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini