Tumpuan :
Nasional

JPBM siap sedia MTL, jangka banjir lebih besar, belum pernah dialami

Nor Hisham pada Majlis Pemakaian Pangkat Penguasa Bomba di Dewan Dato Hamzah JBPM Negeri Sembilan, hari ini. – Foto NSTP

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan banjir luar jangka lebih besar dan belum pernah dialami pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah JPBM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata pihaknya merangka pelan tindakan kecemasan lebih efektif sebagai persiapan menghadapi MTL.

Beliau berkata ia termasuk latihan simulasi pengurusan bencana banjir secara dalaman.

“Kemungkinan boleh berlakunya banjir luar jangka lebih besar dan belum pernah dialami sebelum ini pada MTL kali ini.

“Justeru, pelbagai persiapan rapi dibuat JBPM termasuk mengaktifkan bilik gerakan banjir di Pusat Gerakan Operasi (PGO) di setiap negeri.

“Selain itu, kita menggunakan aset udara iaitu helikopter dan dron bagi membuat pemantauan kawasan terjejas banjir terutama di kawasan atau laluan yang tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Penguasa Bomba di Dewan Dato Hamzah JBPM Negeri Sembilan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, sebanyak 4,619 kawasan ‘hotspot’ banjir di negara ini sudah dikenal pasti sebagai persediaan menghadapi MTL.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata kawasan ‘hotspot’ itu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dapat dilakukan sebelum bencana banjir berlaku.

Nor Hisham berkata, JPBM turut menggerakkan Pasukan Gerak Cepat (RED TEAM) yang akan bertindak sebagai ‘strike team’ bagi memantapkan persiapan dan persediaan perkhidmatan kebombaan serta penyelamatan yang lebih efisien.

Katanya, semua maklumat berkaitan banjir di JBPM negeri akan disalurkan dan diselaraskan di Pusat Pengurusan Operasi (PPO).

“Orang ramai perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan berlakunya bencana banjir dengan membuat persediaan sebelum, semasa dan selepas berlakunya bencana itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini