Tumpuan :
Nasional

JPJ laksana pertukaran petugas kaunter babitkan 1,907 anggota

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli. – FOTO: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia bakal melaksanakan pertukaran petugas kaunter melibatkan 1,907 anggota di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu selari dengan hasrat kerajaan bagi melaksanakan dasar penggiliran kerja bagi penjawat awam yang telah bertugas melebihi lima tahun di kaunter.

“Pihak JPJ juga sedang memperincikan senarai nama penjawat awam yang bertugas di kaunter JPJ untuk dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Pihak JPJ yakin langkah ini akan mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan, dan kualiti perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan melalui kaunter-kaunter perkhidmatan JPJ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga mampu memberi implikasi positif berhubung aspek integriti selain meningkatkan kemahiran dan pengalaman khusus bagi warga kerja JPJ.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengarahkan pelaksanaan dasar penggiliran kerja bagi penjawat awam yang bertugas di kaunter melebihi tempoh lima tahun.

Ujarnya, tempoh yang terlalu lama dalam perkhidmatan kaunter dilihat tidak bersesuaian dan mampu memberi tekanan kepada penjawat awam.

Selain itu, inisiatif itu juga merupakan usaha kerajaan dalam memastikan penjawat awam mempunyai pertumbuhan positif dalam kerjaya menerusi pengalaman baru yang bakal diceburi.

Perkara itu diputuskan sewaktu Amanat Ketua Setiausaha Negara 2025 pada 20 Januari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini