KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah membuka tawaran bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI dengan harga minimum bermula RM100.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tawaran itu dibuka melalui sistem JPJeBid semalam dan akan ditutup jam 10 malam pada Rabu ini.
Katanya, keputusan bidaan dikeluarkan pada 24 Oktober dan nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.
“NPI Siri MADANI merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong agenda MADANI Malaysia yang secara tidak langsung mempromosikan nilai madani yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara dalam setiap langkah kehidupan rakyat Malaysia.
“Kaedah penawaran secara bidaan ini tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid.
“Harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima yang ditetapkan iaitu nombor utama RM20,000, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor semasa (RM100),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aedy berkata hasil penjualan NPI ini juga satu daripada langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
“Inisiatif itu antaranya Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, FlySISWA, Pembayaran PERKESO kepada pemandu teksi dan pelbagai inisiatif yang lain.
“Orang awam dialu-alukan untuk bersama-sama menyokong hasrat kerajaan melalui penyertaan bidaan NPI dan seterusnya pemilikan nombor pendaftaran kenderaan Siri MADANI,” katanya.
Aedy berkata NPI Siri MADANI diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perasmian Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah, semalam, sebelum diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.