comscore
Tumpuan :
Nasional

JPJ WPKL keluarkan 14,269 notis hasil Op Khas Motosikal

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengeluarkan sejumlah 14,269 notis kepada pengguna motosikal atas pelbagai kesalahan.

Jumlah itu direkodkan dalam tempoh 26 hari Operasi Khas Motosikal sejak 1 September lalu.

Pengarah JPJ WPKL, Mohd Zaki Ismail berkata dalam tempoh tersebut, sejumlah 68,257 buah motosikal diperiksa.

Daripada jumlah itu, 7,650 buah motosikal dikenakan tindakan manakala 575 lagi disita.

Pihaknya turut mengeluarkan sejumlah 12,893 Notis P22 terhadap pemilik motosikal terlibat.

 

Jelasnya, antara kesalahan paling banyak dikesan ialah tiada lesen memandu iaitu 5,278 kes, lesen kenderaan motosikal tamat tempoh 3,082 kes dan insurans tamat tempoh 3,005 kes.

“JPJ WPKL mengadakan Op Sepadu dengan objektif utamanya untuk membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah dibawahnya khususnya kesalahan yang menjadi punca kemalangan maut” katanya ketika menyertai Op Bersepadu di ibu negara petang tadi.

73 anggota JPJ serta anggota JSPT, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar seramai 40 orang menyertai operasi yang bermula jam tiga petang hingga tujuh malam tadi.

Tambah Mohd Zaki, sejumlah 3,313 kematian direkodkan akibat kemalangan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 1,889 mangsa adalah penunggang motosikal.

Jelasnya, JPJ WPKL akan terus mengukuhkan lagi usaha bagi memastikan kesejahteraan para pengguna jalan raya melalui strategi tindakan penguatkuasaan bagi mendidik orang ramai mematuhi peraturan dan berhemah semasa memandu.

Loading...
Terkini