comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JPNS mohon peruntukan RM500,000 untuk fasiliti daif SK Darau

Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan SK Darau di Menggatal di sini memerlukan peruntukan RM500,000 bagi kerja penyelenggaraan dan pendawaian untuk beberapa fasilitinya.

Kedaifan sekolah yang mempunyai seramai 1,300 orang murid bagi sesi pagi dan petang itu diklasifikasikan berada pada skala tujuh, iaitu bangunan atau blok sekolah memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan atau bangunan gantian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata SK Darau ini mendapat perhatian daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), setiap tahun ada pembaikan tetapi ada kelas yang sudah berskala tujuh.

“Skala tujuh ini memerlukan bangunan baru. JPNS akan membuat pembaikan sementara menunggu bangunan yang dicadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Dalam tahun ini, kita ada memohon sejumlah RM500,000 untuk membaiki beberapa keperluan di sekolah ini. Insya Allah nanti datangnya RMK13, kita dapat mencadangkan sebuah bangunan baharu tiga tingkat dengan 36 bilik darjah.

“Mudah-mudahan ini juga dapat dilaksanakan oleh kerajaan. Saya juga memohon kepada kerajaan Persekutuan agar projek ini menjadi kenyataan dan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau bangunan SK Darau, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga sedang mendapatkan maklumat terkini mengenai sekolah daif berskala enam dan tujuh di seluruh Sabah yang memerlukan pembaikan.

Loading...
Terkini