comscore
Tumpuan :
Nasional

JPNS sudah berjumpa keluarga murid tak berdokumen

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) telah mengadakan pertemuan bersama keluarga murid tanpa dokumen kewarganegaraan yang menghadapi masalah untuk meneruskan persekolahan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, sesi pertemuan itu diadakan pada 28 Disember lalu bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid terlibat meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan berkaitan dengan keperluan dokumentasi kewarganegaraan murid terbabit.

“Manakala pihak JPNS pula komited untuk membantu dari aspek pengurusan pendaftaran murid di sekolah,” menurut kenyataan itu.

Jelas KPM, pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai hasil yang positif.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang murid, Shivaani berusia 10 tahun yang tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibenarkan bersekolah.

Shivaani sebelum ini bersekolah dari darjah satu sehingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Senawang.

Namun, pihak sekolah memberitahu keluarga bahawa Shivaani tidak dapat meneruskan darjah empat pada sesi pembukaan sekolah Mac ini kerana isu dokumentasi kewarganegaraan.

Menurut P Rajheswaran, 44, yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa Shivaani, anak perempuannya mengalami masalah dokumentasi kewarganegaraan kerana dia tidak mendaftar perkahwinannya.

“Selepas berkahwin, saya tidak mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Selepas anak saya lahir pada 2013, isteri berpisah dengan saya.

“Ketika saya cuba mendapatkan sijil kelahiran, JPN berkata anak saya tidak boleh diberikan taraf kewarganegaraan kerana tiada maklumat mengenai ibu dan bapa.

“Nama saya juga tidak boleh dimasukkan sebagai bapa kerana perkahwinan kami tidak didaftarkan. Jadi, saya ambil sijil lahir anak yang hanya tertulis nama ibu,” katanya.

Ujarnya, dia diserang strok empat tahun lalu sehingga menyukarkannya keluar rumah bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anaknya.

Mengulas lanjut, KPM sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid warganegara.

“Agenda pendidikan manusiawi memastikan tiada murid yang tercicir,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini