comscore
Tumpuan :
Nasional

JPNS tolak dakwaan ada kenaikan harga di kantin sekolah 

 Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin.

NILAI: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menolak dakwaan berlakunya kenaikan harga makanan dan minuman di kantin sekolah di negeri itu.

Menurut Pengarahnya, Datuk Dr Roslan Hussin sehingga kini, pihaknya tidak menerima aduan daripada ibu bapa atau sekolah berkaitan perkara berkenaan.

“Setakat ini, kita (JPNS) tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak, terutama ibu bapa berkaitan kenaikan harga makanan atau minuman di kantin sekolah.

“Pengusaha kantin sekolah tidak boleh sewenang-senangnya menaikkan harga kerana mereka perlu berbincang dengan kita terlebih dulu.

“Walaupun begitu, kita berharap pengusaha tidak membuat keputusan secara bersendirian untuk menaikkan harga,” beliau diminta mengulas berkaitan surat bertarikh 3 Mei lalu yang dihantar oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada ibu bapa sebuah sekolah di Paroi, di sini.

Surat berkenaan memaklumkan cadangan pengusaha kantin sekolah itu untuk menaikkan harga 50 sen ke atas semua jualan makanan berkuatkuasa 6 Mei lalu.

Turut dinyatakan dalam surat itu, alasan pengusaha menaikkan harga disebabkan oleh kenaikan kos bahan asas, bahan mentah, gaji pekerja dan caj pengangkutan yang semakin meningkat.

Roslan berkata, sebenarnya, tiada isu berkaitan pihak kantin sekolah hendak menaikkan harga kerana harga bahan mentah di pasaran ketika ini dilihat stabil.

“Jadi tiada alasan yang kukuh jika pengusaha kantin hendak menaikkan harga, tambahan pula, sebarang kenaikan pasti akan membebankan ibu bapa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan sebarang perubahan harga di kantin sekolah perlu dibincangkan serta mendapat persetujuan antara pihak sekolah dan pengusaha kantin.

Perkara itu terkandung dalam buku panduan dan perjanjian penyewaan kantin melalui surat arahan Pelaksanaan Pemantauan Berkala Pengoperasian Kantin Sekolah dan Peringatan Pelaksanaan Kendiri Kantin sekolah di bawah KPM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini