comscore
Tumpuan :
Nasional

Jual makanan hangit, basi hukumnya haram – Mufti Pulau Pinang

FOTO: Adam Muiz Al Haq / Facebook

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan hukum seseorang peniaga menjual sesuatu makanan yang tidak berkualiti termasuk hangit serta basi adalah haram.

Ia susulan perkongsian orang ramai di media sosial yang mendakwa makanan dibeli mereka di beberapa bazar Ramadan hangit, basi serta tidak sepadan dengan harga.

Wan Salim berkata, peniaga yang menjual makanan sedemikian bukan sahaja terpalit dalam penipuan transaksi jual beli malah ia termasuk dalam pengertian memakan harta orang secara salah.

“Terdapat juga hadis yang bermaksud sesiapa yang menipu barang-barang jualannya maka dia bukan umat kami.

“Jadi saya menyeru peniaga supaya bertimbang rasa terhadap pembeli dan janganlah mengambil kesempatan daripada keperluan orang ramai terutama makanan bagi dimakan ketika berbuka puasa.

“Selain itu, bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi peniaga mencari pahala daripada Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, Islam adalah agama rahmat yang membawa misi kasih sayang dan menyeru kepada persaudaraan antara umat Islam serta sesama manusia.

Malah katanya, dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud ‘Allah SWT merahmati seseorang yang bertolak ansur dalam jual beli’.

“Sikap sedemikian juga termasuk dalam pengertian ‘ihsan’ iaitu menjadi antara tonggak Negara Madani yang dijadikan slogan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Sejak 1 Ramadan, tular di media sosial mengenai perkongsian orang awam yang membeli makanan hangit, basi dan tidak setimpal dengan harga.

Antaranya ialah nasi ayam berempah pada harga RM15, roti john dan martabak hangit antara perkongsian yahg mendapat reaksi warganet.

Loading...
Terkini