Tumpuan :
Nasional

Jual ‘vape’ guna mesin layan diri tindakan tak bertanggungjawab – MCPF

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Isu penjualan rokok elektronik atau ‘vape’ menerusi mesin layan diri secara terbuka yang dikesan di salah sebuah pusat beli belah merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Penjualan tanpa pemantauan itu bakal mendorong golongan remaja bawah umur atau pelajar sekolah terjerumus kepada budaya tidak sihat itu.

Tampil menyuarakan isu berkenaan, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob yang berpendapat tindakan itu hanya akan memudahkan akses terhadap golongan berkenaan mendapatkan peranti merokok itu tanpa pengawasan.

“Tindakan pemilik mesin layan diri itu jelas melanggar Fasal 10 (1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).

“Tiada seseorang pun boleh menjual atau mempamer bagi penjualan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau melainkan jika jualan atau pameran bagi penjualan itu mematuhi kehendak sebagaimana yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MCPF dalam masa sama menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau isu berkenaan secara mendalam.

Ini termasuk menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang diluluskan Parlimen pada hujung tahun lalu.

Tindakan secara komprehensif katanya penting dalam memastikan generasi baharu tidak terjebak dengan ketagihan vape sekali gus mengawal penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Semalam, Buletin Utama menyiarkan laporan berhubung penemuan mesin layan diri yang menjual rokok elektronik secara terbuka di sebuah pusat beli belah terkemuka di Klang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini