BESUT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengadakan Program Jualan Ihsan MADANI untuk membantu mangsa banjir yang terjejas dengan musim Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Lembaga FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, jualan berkenaan adalah kesinambungan daripada Program Jualan Agro MADANI.
Katanya, melalui jualan berkenaan ia diharap dapat membantu mengurangkan kos sara hidup tinggi mangsa banjir selain membantu mereka mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga berpatutan.
“Mereka juga dapat membeli barangan segar berkualiti seperti ayam, ikan, sayuran dengan potongan harga sehingga 30 peratus,” katanya ketika Program ‘Walkabout’ Jualan Insan MADANI @ Pasar Tani Kekal (PTK) Nyiur Tujuh, di sini, hari ini.
Aminuddin berkata Pasar Tani Kekal (PTK) Nyiur Tujuh menjadi antara satu-satunya pasar tani yang terjejas dengan banjir kali ini.
Dalam perkembangan lain katanya, usahawan FAMA sekitar Lembah Klang turut menghulurkan sumbangan barangan makanan bernilai RM15,000 untuk membantu mangsa banjir di Terengganu.
“Barangan berkenaan terdiri daripada produk mereka sendiri selain ada juga dibeli daripada usahawan lain untuk disumbangkan.
“Proses agihan berkenaan akan dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika banjir,” katanya.
Aminuddin berkata, proses pengagihan seperti itu juga akan dilaksanakan di Kelantan dan Kedah secara berperingkat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.