KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hanya memerlukan 68,466 unit jualan untuk mencapai sasaran baharu sebanyak 800,000 unit kenderaan yang ditetapkan, sebelum akhir tahun.
Semakan semula kali kedua sasaran baharu 800,000 unit diumumkan Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain dalam satu sidang media baru-baru ini.
Mei lalu, MAA menetapkan sasaran baru jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 765,000 unit, semakan pertama selepas mengumumkan sasaran jualan sebanyak 740,000 unit pada awal tahun ini.
Jika sasaran terkini berjaya dicapai dalam tempoh sebulan yang terakhir tahun ini, industri automotif tempatan bakal mencipta satu lagi rekod baharu TIV, selepas mencatatkan sejarah merekodkan pendaftaran tertinggi sebanyak 799,731 unit pada 2023.
Untuk rekod, Disember adalah antara bulan paling sibuk untuk jenama kenderaan tempatan dan asing sebelum masing-masing ‘menutup buku’.
Pada Disember 2023, MAA melaporkan TIV berjumlah 78,398 unit, berbanding 76,643 unit dicatatkan pada bulan sama 2022.
Bagi tempoh 11 bulan tahun ini, MAA melaporkan jumlah jualan kenderaan di Malaysia mencecah 731,534 unit, lebih tinggi berbanding 721,392 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 670,650 unit dijual adalah kenderaan penumpang, manakala 60,884 unit kenderaan komersial.
Untuk kenderaan penumpang, pencapaian November 2024 adalah lebih tinggi berbanding 648,257 unit, manakala kenderaan komersial pula adalah lebih rendah berbanding 73,135 unit yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu.
Dari aspek pengeluaran pula, MAA melaporkan sejumlah 725,173 unit telah dihasilkan dalam tempoh 11 bulan 2024, jauh lebih tinggi berbanding 708,376 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 683,262 unit dikeluarkan adalah kenderaan penumpang, manakala baki 41,911 unit adalah kenderaan komersial.
Untuk tempoh November, TIV berada pada 67,532 unit, lebih rendah berbanding 73,262 unit yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 62,425 unit dijual adalah kenderaan penumpang, manakala 5,107 unit kenderaan komersial.
MAA berkata, prestasi pada November adalah 3.3 peratus lebih rendah berbanding Oktober 2024 iaitu 69,859 unit.
“Penurunan ini disebabkan pengguna menggunakan pendekatan tunggu dan lihat kepada promosi akhir tahun,” katanya.
Mengenai prospek bagi Disember, MAA berkata, ia menjangkakan TIV pada bulan berkenaan adalah lebih tinggi berbanding November disebabkan langkah promosi agresif akhir tahun pengeluar sebelum 31 Disember 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.