comscore
Tumpuan :
Nasional

Jualan telur terpaksa dicatu berikutan kekurangan bekalan

FOTO: NSTP

KUALA BERANG: Penjualan telur ketika ini terpaksa dihadkan kepada pengguna berikutan kekurangan bekalan di dalam pasaran sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan oleh KPDNHEP mendapati berlaku kekurangan telur dalam pasaran dan pihaknya sudah memaklumkan mengenai kekurangan itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“MAFI memaklumkan bahawa bekalan telur mencukupi namun hakikatnya ia sukar diperoleh dan sebagai contoh kita dapat melihat hanya sepapan telur dijual kepada pengguna dalam karnival yang berlangsung hari ini.

“Ia bukan hanya pengguna yang terjejas malah peniaga makanan amat terkesan berikutan kekurangan bekalan telur selain sukar diperoleh,” katanya ketika ditemui selepas Program Advokasi Kepenggunaan Dan Jualan Keluarga Malaysia, di Dewan Sivik Ajil, Kampung Bukit Perah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, KPDNHEP berharap MAFI dapat menyelesaikan dengan segera permasalahan membabitkan bekalan telur di pasaran yang sudah berlarutan beberapa bulan kebelakangan ini.

Katanya, satu tindakan drastik perlu dilakukan berikutan maklum balas kontra yang diperoleh iaitu MAFI memberitahu bekalan telur mencukupi namun hasil tinjauan KPDNHEP mendapati bekalan telur berkurangan.

“Telur tidak bersubsidi mudah diperoleh di pasaran namun harganya sedikit mahal berbanding telur biasa yang bersubsidi yang sukar diperoleh dan jualannya terpaksa dicatukan,” katanya.

Mengulas mengenai Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) beliau berkata, sejak diperkenalkan hingga minggu ketiga bulan lalu, jualan keseluruhan PJKM sebanyak RM60.22 juta membabitkan 639 sesi di seluruh negara.

“Melalui PJKM harga yang ditawarkan lebih rendah antara 20 hingga 30 peratus daripada harga pasaran biasa dan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat melaksanakan PJKM ini sebanyak dua kali sebulan.

“Program ini dilihat dapat meringankan beban pengguna berikutan kesan inflasi yang sedang dialami buat masa ini,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI) harus lebih agresif dalam menangani permasalahan ini bagi meringankan beban pengguna khasnya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini