ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 6,792 orang membabitkan 2,171 keluarga yang masih berlindung di 33 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 11 malam tadi.
Ia berbanding 7,525 mangsa banjir pada jam 3 petang semalam, di empat daerah negeri ini, iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kota Setar merekodkan 4,626 mangsa (1,509 keluarga) yang masih berada di 19 PPS, menurun berbanding 5,212 mangsa (1,719 keluarga) setakat jam 3 petang semalam.
Jumlah mangsa banjir di Kubang Pasu pula menurun kepada 493 orang (144 keluarga) berbanding 621 (196 keluarga) di tiga PPS.
Begitu juga di Pokok Sena, angka mangsa banjir berkurangan kepada 67 orang (28 keluarga) berbanding 88 (39 keluarga) di sebuah PPS.
Bagaimanapun di daerah Pendang, bilangan mangsa banjir kekal seramai 1,606 orang (490 keluarga) yang berlindung di 10 PPS.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.