comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Rompin kekal

Keadaan rumah salah seorang penduduk yang dinaiki air. – FOTO: PDRM

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Rompin kekal 314 orang daripada 96 keluarga yang berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi, hari ini.

Menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah itu, seramai 165 mangsa di PPS Kampung Setajam, Balai Raya Rekoh (122 mangsa) dan Balai Raya Kampung Denai (27 mangsa).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan malam tadi, mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Rompin, Pahang sehingga esok.

Hujan lebat berterusan tahap buruk pula diramalkan berlaku di Kuantan dan Pekan manakala hujan berterusan tahap waspada pula diramal berlaku di Jerantut dan Maran.

Sementara itu, maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan paras Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin masih melepasi paras bahaya pada jam 7.45 pagi, hari ini.

Paras Sungai Keratong itu merekodkan bacaan 23.80 meter berbanding paras bahaya ditetapkan ialah 23 meter.

Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Belat, Kuantan pula melepasi paras waspada. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini