KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri terus berkurangan malam tadi, dengan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup lewat petang semalam.
Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, dua PPS di Segamat dan satu di Batu Pahat ditutup petang, menjadikan jumlah mangsa banjir malam tadi sebanyak 168 orang berbanding 229 orang pada sebelah petang.
“Semua mangsa banjir negeri ini yang terdiri daripada 48 keluarga berada di Segamat dan ditempatkan di lima PPS di daerah itu,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
KELANTAN juga merekodkan penurunan jumlah mangsa selepas sebuah PPS di Tumpat ditutup, menjadikan jumlah mereka yang masih terkesan dengan bencana itu malam tadi ialah 111 orang berbanding 240 orang yang direkodkan petang semalam.
Portal Info Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan dua PPS masih beroperasi di negeri itu, iaitu di Tumpat yang menempatkan 68 mangsa daripada 36 keluarga manakala PPS di Pasir Mas dihuni 43 mangsa daripada 12 keluarga.
Sementara itu, di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan banjir di Manjung pulih selepas PPS Dewan Orang Ramai Kampung Batu 4 ditutup setelah lima mangsa terakhir di situ pulang ke rumah masing-masing pada 5.30 petang semalam.
Perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa malam tadi berkurangan kepada 116 orang dengan 82 orang daripada 28 keluarga berada di dua PPS di Kinta manakala 34 orang daripada 11 keluarga menghuni sebuah PPS di Perak Tengah.
Situasi banjir di MELAKA juga hampir pulih, apabila hanya 11 mangsa masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat, Jasin malam tadi, berkurangan daripada 17 mangsa yang direkodkan petang selepas PPS SK Parit Penghulu, juga di Jasin ditutup lewat petang semalam.
Di KEDAH pula, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah mangsa banjir ialah 254 orang daripada 64 keluarga berbanding 255 orang daripada 65 keluarga petang semalam dengan kesemua mereka ditempatkan di PPS SK Sri Gunung, Kota Setar. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.