Tumpuan :
Nasional

Jumlah pemegang sijil halal pengusaha perniagaan tunjuk peningkatan ketara – Dr Zulkifli

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR: Jumlah pemegang Sijil Halal Malaysia dalam kalangan pengusaha Bumiputera dan juga bukan Bumiputera sudah menunjukkan peningkatan ketara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ketika ini sebanyak 40 peratus pemegang sijil halal adalah Bumiputera, manakala 57 peratus lagi bukan Bumiputera dan hanya tiga peratus milikan asing.

“Itu menunjukkan satu perkembangan positif. Sehingga 10 November lalu menerusi skim premis halal, sebanyak 1,926 syarikat yang mewakili 10,814 premis makanan sudah menerima sijil halal,” katanya menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau), Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah dan giat mengadakan libat urus dengan pelbagai institusi serta agensi, termasuk dewan perniagaan dalam memudahkan urusan mendapatkan persijilan halal.

“Ini adalah langkah untuk memberikan pencerahan dan penjelasan kerana kita ambil maklum bahawa kerap kali apa yang menjadi persoalan kerana tidaktahuan ataupun tidak mempunyai maklumat yang lengkap.

“Maka sesi libat urus itu sudah pun dilakukan dengan lebih agresif dan kita sudah dapat melihat perkembangan yang baik,” katanya.

Menjawab soalan asal Shahidan pula, beliau berkata, nilai eksport bagi industri halal negara pada 2023 mencecah sebanyak RM54 bilion.

“Sementara kadar sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kadar (KDNK) mencecah 7.5 peratus pada 2023 dan menghampiri 8.1 peratus seperti disasarkan pada 2025.

“Pada 2030, Malaysia mensasarkan nilai eksport halal RM75.2 bilion atau 11 peratus daripada KDNK,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini