Tumpuan :
Nasional

Jumlah penagih dadah di Selangor meningkat

PETALING JAYA: Jumlah penagih dadah di Selangor mencatat peningkatan 50.1 peratus daripada 12,248 individu tahun lalu kepada 18,382 yang dikesan bagi tempoh Januari hingga Jun.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Nazir Mohamad berkata, jumlah purata penagih dadah di negeri itu masih di dalam julat yang diterima standard antarabangsa iaitu 250 orang penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

“68.5 peratus atau 12,594 daripada pengguna dikesan menggunakan dadah perangsang jenis ATS (amphetamines stimulant) manakala 23.6 peratus menggunakan opiat dan 5.8 peratus pengguna ganja.

“Kumpulan umur tertinggi terlibat penyalahgunaan dadah lingkungan 15 ke 39 tahun iaitu 59.6 peratus daripada jumlah keseluruhan,”katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, 5,221 pelajar sekolah menengah menjalani ujian saringan air kencing sepanjang tahun ini membabitkan 170 sekolah seluruh Selangor.

Katanya, daripada jumlah pelajar terbabit hanya tiga orang iaitu dua lelaki dan seorang perempuan didapati positif dadah dan benzo atau ubat batuk.

Mengulas mengenai jumlah tangkapan, Nazir berkata, 2,700 individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tempoh Januari hingga Oktober.

“Daripada jumlah itu 2,525 orang adalah lelaki manakala selebihnya seramai 175 wanita berusia lingkungan bawah 17 tahun hingga 50 tahun.

“Kategori umur paling banyak ditahan adalah 31 hingga 40 tahun seramai 921 orang, 18 ke 30 tahun (777), 41 ke 50 tahun (682), 50 tahun (51), dan bawah 17 tahun (12),”katanya.

Nazir berkata, 1,720 individu ditahan didapati menggunakan dadah jenis methamphetamine, heroin (695 orang), ganja (230 orang), dan selebihnya MDMA, benzo serta ketamin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini