Tumpuan :
Nasional

Jumlah penganggur di Malaysia berkurangan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan kepada 3.2 peratus pada November 2024, manakala bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 17.29 juta orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi kukuh pada penghujung tahun membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan stabil, dengan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 16.75 juta orang.

Bilangan penganggur pula berkurang sebanyak 0.9 peratus kepada 546,700 orang berbanding 551,400 orang pada bulan sebelumnya, kekal pada kadar pengangguran 3.2 peratus, sama seperti Oktober 2024.

Daripada jumlah penduduk bekerja, 74.9 peratus berada dalam kategori pekerja, meningkat 0.1 peratus kepada 12.54 juta orang. Penduduk bekerja sendiri turut menunjukkan pertumbuhan 0.4 peratus kepada 3.11 juta orang.

Sektor perkhidmatan terus menyumbang kepada peningkatan tenaga buruh, terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit, pengangkutan, serta maklumat dan komunikasi.

Sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, dan pengkuarian juga mencatatkan pertumbuhan.
Daripada keseluruhan penganggur, 79.8 peratus adalah individu aktif mencari pekerjaan, berkurang 0.9 peratus kepada 436,200 orang.

Majoriti penganggur aktif, iaitu 62.6 peratus, menganggur kurang tiga bulan, manakala 6.0 peratus mengalami pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Penganggur tidak aktif, iaitu mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, turun 0.7 peratus kepada 110,600 orang berbanding 111,400 orang pada bulan sebelumnya.

Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.4 peratus, melibatkan 300,600 individu.

Bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran turun 0.1 peratus kepada 6.2 peratus, dengan bilangan penganggur seramai 415,600 orang.

Dalam pada itu, Mohd Uzir menekankan pentingnya momentum positif ini diteruskan untuk mengekalkan kestabilan pasaran buruh dan memperkukuh sumbangan ekonomi negara secara menyeluruh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini