comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah pengundi berdaftar di Selangor meningkat lebih 50 peratus

Foto hiasan.

SHAH ALAM: Jumlah pengundi berdaftar di Selangor meningkat 52.28 peratus atau 1.26 juta pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Berdasarkan rekod jumlah keseluruhan pengundi pada PRU-15 adalah seramai 3,677,848 orang berbanding 2,415,074 orang pada PRU-14.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri, berkata peningkatan jumlah pengundi itu dipercayai didorong oleh pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran secara automatik.

Menurut beliau, dari segi pecahan jumlah pengundi biasa membabitkan 3,652,790 orang, pengundi awal bagi tentera (7,468), polis (16,779) dan di luar negara (811) pada PRU-15.

“Seramai 2.8 juta adalah pengundi berusia 21 hingga 59 tahun; 598,549 pengundi warga emas (60 tahun ke atas) dan 273,703 pengundi belia berusia 18 hingga 20 tahun.

“Peningkatan pengundi paling tinggi adalah bagi Parlimen Bangi dengan 124,640 individu, diikuti Kota Raja (95,691) dan Subang (84,518).

“Jumlah petugas SPR pada pilihan raya kali ini adalah seramai 56,707,” katanya ketika ditemui selepas taklimat media berhubung PRU-15 di sini, semalam.

Kamarul Azman berkata, sebanyak 974 pusat pengundi dibuka pada PRU-15 di Selangor termasuk 51 pusat pengundi awal.

Ujarnya, ia membabitkan 6,219 saluran tempat mengundi selain sejumlah 22,003 botol dakwat untuk pilihan raya.

“Empat pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cempaka, Sabak Bernam; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Ijok, Kuala Selangor; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser, Hulu Selangor; Balai Raya Lubuk Jaya, Tanjong Karang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga jam 2 petang.

“Sementara empat pusat mengundi lain iaitu SJKT Ladang Sabak Bernam, SJKT Ladang Mary dan SJKT Selangor River serta SK Seri Gambut Tanjong Karang pula beroperasi antara jam 8 pagi hingga jam 4 petang,” katanya.

Loading...
Terkini