Tumpuan :
Nasional

Kabinet belum bincang isu Majlis Profesor Negara


Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet belum membincangkan cadangan untuk mengkaji semula operasi Majlis Profesor Negara (MPN) termasuk keperluan membubarkannya.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini ada menegur pengurusan badan pemikir itu yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Tetapi belum ada kata muktamad ataupun setidak-tidaknya dalam beberapa mesyuarat kebelakangan ini belum dibangkitkan,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan JPM mengkaji semula penubuhan MPN susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendapati berlaku penyalahgunaan dana oleh ahli lembaga pemegang amanahnya.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG), MPN perlu diletakkan bawah KPT berdasarkan peranannya.

LKAN 2/2024 yang dibentangkan Julai lalu, mendapati dua ahli lembaga pemegang amanah MPN tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat dan salah guna dana pembiayaan operasi kepada syarikat berjumlah RM373,516.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini