comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu belanja RM600 bilion : Anwar dimaklumkan berlaku pelanggaran serius berhubung kelulusan beberapa projek

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Cadangan bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin belum dibincangkan Kabinet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara mengenai penubuhan RCI itu akan diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk dinilai.

“Ia belum dibawa dan dibincang oleh Jemaah Menteri, saya serah kepada rakan-rakan Jemaah Menteri untuk menilai hal demikian.

“Tapi setakat saya tahu dan diberi makluman, ada beberapa pelanggaran serius terutama bila luluskan projek, perolehan terlalu banyak, ‘marked up’ tinggi, parti-parti tertentu belanja tinggi menunjukkan keupayaan mereka berbelanja luar biasa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Kabinet hari ini.

Perdana Menteri berkata, secara peribadi beliau tidak cenderung untuk menumpukan hal atau perkara lama sebaliknya mahu menumpukan kepada pengurusan ekonomi dan tadbir urus negara.

“Umpamanya beberapa langkah menyiasat perbelanjaan tinggi hingga RM600 bilion tanpa tender.

“Itu bukan urusan saya, tapi urusan Kementerian Kewangan untuk beri makluman tentang perbelanjaan itu, tapi kita serahkan kepada badan siasatan untuk sejauh mana pelanggaran rasuah berlaku,” katanya.

Semalam UMNO menyokong penubuhan segera RCI bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata menerusi RCI, ia dapat membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Sebelum ini, Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan, turut mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat tujuan perbelanjaan digunakan daripada dana kecemasan RM600 bilion ketika tempoh darurat.

Sany yang juga ahli Parlimen Hulu Langat turut membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 30 November lalu.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Adly dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-15.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasatnya kerana menurutnya semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

Pada 28 November lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter berkata perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan itu diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut menolak dakwaan bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022.

Loading...
Terkini