comscore
Tumpuan :
Nasional

Kabinet dijangka bincang kes kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06

MV Dai Cat 06 yang ‘lesap’ sejak 1 Januari lalu dalam pelayaran ke Kuching masih menjadi misteri hingga ini.

KOTA KINABALU: Kes kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang turut membawa tiga kru warga Malaysia sejak 1 Januari lalu, dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan, esok.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke juga sudah maklum mengenai kes berkenaan.

Madius yang ditemui pemberita selepas melawat keluarga Derrent Littor, 22, seorang daripada empat kru MV Dai Cat 06 di sini hari ini, berkata kes itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai nasib tiga warga Malaysia terbabit.

“Keluarga mereka mahu tahu kejadian sebenar membabitkan kapal membawa 527 batang besi bernilai RM726,205 itu. Ia perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan gambaran sebenar membabitkan kehilangan tiga warga Malaysia terbabit.

“Kita juga berharap kerajaan akan ambil tindakan serius dan sepatutnya sepertimana yang dilakukan semasa kes kehilangan pesawat MH370 sebelum ini,” katanya.

Madius berkata, keluarga anak kapal itu juga perlu mendapatkan penjelasan lebih terperinci, termasuk tindakan lanjut akan dilaksanakan pihak berkuasa selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan.

“Saya akan terus memantau, termasuk mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kita berterima kasih dengan maklumat disalurkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kepada keluarga mangsa sepanjang tempoh SAR dilaksanakan,” katanya.

Pada 10 Januari lalu, media melaporkan kehilangan MV Dai Cat 06 yang didedahkan oleh Maritim Malaysia.

Kapal berukuran 52 meter itu dinaiki lima kru, membabitkan tiga warga Malaysia dan dua warga Indonesia.

Difahamkan, nakhoda kapal berkenaan dikenali sebagai Adi, 43, dari Indonesia, manakala jurutera kanan kapal, juga warga Indonesia, Damai Papane Ole, 57.

Selain Derrent, dua lagi rakyat Malaysia adalah ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, dan Mohammad Sudeh Sudin, 20.

MV Dai Cat 06 yang berlepas dari jeti Perak pada 23 Disember 2022, sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember lalu.

Loading...
Terkini