comscore
Tumpuan :
Nasional

Kabinet harus bersih, tiada individu terbabit kes mahkamah – Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pembentukan Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus bersih daripada mereka yang terbabit dengan kes mahkamah.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata adalah lebih baik untuk tidak melantik individu yang mempunyai kes mahkamah berterusan menganggotai Kabinet supaya tiada sebarang isu bakal berbangkit.

“Saya rasa situasi terbaik dan ideal adalah untuk tidak meletakkan mereka (ada kes mahkamah) dalam Kabinet kerana saya berasa ini isu yang sering ditekankan oleh rakyat sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan kali ini ialah rasuah.

“Mungkin ada kes mahkamah yang sedang berjalan, tetapi bagi saya definisi (Kabinet) sepatutnya bersih sebersihnya daripada sebarang tuduhan apabila diamanahkan memegang jawatan itu.

“Apabila kita mentadbir, kita perlu meletakkan penanda aras yang tinggi dalam aspek integriti dan rasuah,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu dalam bual bicara bertajuk ‘Kabinet Bayangan Anwar Ibrahim’, semalam.

Beliau berkata, terdapat ramai Ahli Parlimen daripada setiap parti dalam kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang boleh memegang jawatan kanan dan menteri serta jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Memandangkan kerajaan perpaduan Anwar berjaya mencapai dua pertiga (majoriti) Parlimen, terdapat kumpulan yang layak dan mencukupi untuk membentuk Kabinet.

“Berdasarkan janji Anwar untuk membentuk Kabinet yang lebih kecil daripada barisan sebelum ini yang hampir 70 orang, saya melihat ia sesuatu yang terbaik kerana meletakkan orang yang tepat.

“Kita perlu meletakkan standard yang tinggi supaya mempunyai menteri yang benar-benar layak dan timbalan menteri yang terbaik untuk membantu mereka selain mengiktiraf kemampuan penjawat awam juga,” katanya.

Mengenai Kabinet bayangan yang dikatakan menyenaraikannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nik Nazmi menolaknya dan menyifatkan ia sebagai tidak rasmi serta sekadar hiburan, menyamakannya dengan pasukan fantasi semasa Piala Dunia.

“Itulah harapan rakyat dan mereka mungkin merasakan ia adalah barisan terbaik, bagaimanapun, Perdana Menteri akan memutuskan apa yang terbaik,” katanya sambil menambah bahawa beliau bersedia untuk memegang jawatan menteri jika diberi peluang. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini