comscore
Tumpuan :
Nasional

Kabinet Kerajaan Perpaduan dijangka diumum sebelum Jumaat

Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara. – FOTO: Istana Negara / Facebook

PUTRAJAYA: Barisan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka diumumkan sebelum Jumaat bagi membolehkan Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.

Ia dipercayai bagi membolehkan Kabinet Kerajaan Perpaduan itu dapat dibentuk segera berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijangka ke luar negara pada Sabtu ini.

Laporan BH menyebut khabar angin Kabinet baharu bakal diumumkan dalam masa terdekat mulai bertiup susulan satu hantaran melalui akaun Facebook Istana Negara semalam, berserta empat keping foto yang memaparkan Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Perdana Menteri.

Biarpun dengan hanya keterangan ringkas yang menyatakan baginda menerima menghadap Anwar jam 5 petang semalam, ia menguatkan lagi spekulasi senarai lengkap Kabinet baharu sudah dipersembahkan kepada baginda.

Difahamkan, pertemuan mingguan pertama Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong diadakan semalam berbanding kelazimannya setiap Rabu, berikutan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung semalam dan hari ini.

Dimaklumkan juga, Perdana Menteri akan kembali ke pejabatnya selepas Mesyuarat Majlis Raja-raja.

Jika Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman mengenai Kabinetnya hari ini, beliau dilihat mungkin mengadakan sidang media mengenainya selewat-lewatnya esok bagi memberi cukup masa untuk istiadat angkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata beliau difahamkan pengumuman itu akan dibuat sesegera mungkin.

Bagaimanapun, beliau tidak ada sebarang maklumat mengenainya.

“Saya tak ada maklumat. Ada beberapa wartawan dah hubungi (saya) dan ya saya tak ada sebarang maklumat mengenai perkara ini.

“Yang saya difahamkan sesegera mungkin, tapi saya tak ada maklumat mengenai jangka masa itu,” katanya.

Turut menjadi teka teki bilangan menteri dan timbalan menteri yang akan dilantik menerajui pelbagai kementerian di bawah Kerajaan Perpaduan.

Jumaat lalu, pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan Kerajaan Perpaduan diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet lebih kecil.

Beliau turut dilaporkan berkata, akan mengusulkan gaji menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.

Loading...
Terkini