comscore
Tumpuan :
Nasional

Kabinet Putuskan Dalam Tempoh Terdekat Harga Siling Baharu Ayam

Foto: BH

LANGKAWI: Kabinet akan membuat keputusan berkaitan harga siling baharu ayam standard dalam tempoh terdekat, selepas kadar RM9.40 sekilogram (kg) yang ditetapkan di Semenanjung bakal tamat pada Rabu ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata keputusan sama ada harga kekal, turun atau dinaikan, perlu dimuktamadkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Kabinet.

“Kita beri tiga cadangan, iaitu apungkan harga seperti cadangan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, teruskan subsidi dan beri subsidi tapi dikurangkan. Ia sudah dibawa ke Kabinet baru-baru ini dan saya belum dimaklumkan keputusannya.

“Tunggulah, ia (keputusan) semua atas Kabinet,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Jelajah Kepenggunaan 22 di Kolej Vokasional Langkawi, di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40kg untuk tempoh 1 Julai lalu sehingga 31 Ogos ini, manakala harga siling runcit telur ayam gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung.

Pada majlis sama, Program Jelajah Kepenggunaan 22 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah itu menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan pertama atas kejayaan program hampir sebulan membabitkan 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mengumpul penyertaan terbesar dalam kempen kesedaran kepenggunaan, iaitu 11,076 peserta.

Program yang bermula di DUN Merbau Pulas dan berakhir di DUN Ayer Hangat itu turut menerima pengiktirafan MBOR bagi bilangan terbanyak ceramah kesedaran kepenggunaan diberikan oleh seorang individu.

Kedua-dua sijil disampaikan wakil MBOR, Siti Hajar Johor dan Lee Pooi Leng kepada Pengarah KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Kanth sambil disaksikan Rosol.-Berita Harian

Loading...
Terkini