comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kabinet setuju Akta Hasutan disemak hanya untuk lindungi institusi Raja

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) disemak  sewajarnya bagi memastikan perundangan berkenaan digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau membentangkan kepada Jemaah Menteri hari ini hasil Dialog Perundangan 3R dalam menangani isu provokasi 3R melibatkan agama (religion), bangsa (race) dan Institusi Raja-Raja (royalty).

“Aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam, dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) akan mengambil langkah sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta 15 dan memastikan cadangan pindaan  benar-benar bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik.

Dialog Perundangan 3R diadakan  Jumaat lalu yang dihadiri wakil kementerian dan Jabatan Persekutuan termasuk Kementerian Perpaduan Negara, Badan-Badan Peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Ahli-Ahli Akademik.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, kerajaan berhasrat  mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi menangani isu 3R selaras perkembangan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Hasrat itu turut mengambil kira peningkatan kes provokasi isu agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja baru-baru ini.

Walaupun terdapat undang-undang sedia ada bagi menangani isu terbabit termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),  ada di antara undang-undang itu katanya telah digubal tujuh dekad lalu.

Loading...
Terkini