comscore
Tumpuan :
Nasional

Kabinet tak bincang keperluan Lembaga Pengampunan buat justifikasi keputusan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan sebarang keperluan untuk Lembaga Pengampunan membuat sebarang penjelasan berhubung isu pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Lembaga Pengampunan juga sebelum ini secara lazimnya tidak pernah memberikan sebarang kenyataan berhubung justifikasi keputusan mereka.

“Perdana Menteri ada menegaskan apa yang beliau sebutkan dalam perhimpunan bulanan dan kita berpegang kepada kenyataan itu. Pada masa sama, setahu saya, Jemaah Menteri tidak ada membincangkan keperluan untuk Lembaga Pengampunan membuat sebarang pengumuman,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pada masa sama, Fahmi secara peribadi bersetuju dengan pandangan Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi bahawa perbincangan Lembaga
Pengampunan berstatus rahsia seperti yang diterbitkan pakar perlembagaan itu di sebuah akhbar tempatan.

Pada Jumaat lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Najib turut perlu membayar denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini