comscore
Tumpuan :
Nasional

Kabinet tidak bincang dakwaan Najib berhubung pengampunan diraja benarkan tahanan di rumah

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak.

Ia mengenai bahagian tambahan atau titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

“Tidak dibincangkan dalam mesyuarat (Jemaah Menteri) hari ini,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan bekas Perdana Menteri itu membuat dakwaan tersebut apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi di sini, pada 1 April lalu, menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan yang dimuat turun melalui sistem carian mahkamah, Najib memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Kabinet mengambil maklum perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerima menghadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

“Jemaah Menteri juga mengambil maklum mengenai posting di Facebook Sultan Ibrahim dan menjunjung kasih di atas perkenan untuk menerima menghadap pengasas terbabit.

“Jemaah Menteri juga senada bahawa aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan dan juga mengambil maklum serta menjunjung titah mengenai keperluan untuk tangani mereka yang cuba menghasut rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini