comscore
Tumpuan :
Nasional

Kabinet ucap tahniah kepada Lawrence Wong, PM Singapura baharu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada Lawrence Wong di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu Singapura.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ucapan itu disampaikan Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mesyuarat Kabinet hari ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan dalam perutusan beliau mewakili Jemaah Menteri, kami mengucapkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong yang akan angkat sumpah pada malam ini.

“Ini akan disusuli dengan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tetapi Jemaah Menteri mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Selepas hampir dua dekad Lee Hsien Loong berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura, republik itu melantik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri baharu hari ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Lawrence, 51, menggantikan Hsien Loong, 72, yang sudah berkhidmat sebagai Perdana Menteri sejak 2004.

Upacara angkat sumpah itu akan berlangsung pada 8 malam ini di Istana Singapura.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pengamal media dari rantau Asia Tenggara turut dijemput menghadiri sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada hujung bulan ini.

Jelasnya, sambutan berkenaan akan dijadikan platform perbincangan sebagai langkah persediaan ke arah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun hadapan .

“Kita harap dengan hubungan erat rakan media dari rantau Asia Tenggara akan memantapkan lagi kebebasan media dan juga dari segi aktiviti kewartawanan di rantau ini,” katanya.

HAWANA 2024 bakal diadakan di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula 25 Mei dan mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan” dengan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri pada 27 Mei.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini