comscore
Tumpuan :
Nasional

Kadar fi hanya untuk penggambaran komersil – EXCO Perlis

Kadar baharu bayaran kamera, fotografi dan penggambaran di View Point Wang Kelian yang tular sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati semua pihak. Foto NSTP/ihsan orang awam.

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis menjelaskan bahawa kadar fi untuk fotografi dan video di View Point Wang Kelian hanya bagi tujuan penggambaran komersil sahaja.

Exco Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad berharap masyarakat bertenang dan memahami tujuan yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam menambahbaik kemudahan pelancongan di negeri itu.

 

“Bawa bertenang semua, fi fotografi yang dikenakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis adalah bertujuan untuk penggambaran komersial sahaja yang menggunakan kamera jenis DSLR dan seumpamanya.”

“Selain itu, jika hanya sekadar untuk tujuan peribadi, hobi atau untuk dimuatnaik ‘upload’ di media sosial, ia tidak dikenakan caj,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook hari ini.

Katanya, caj penggambaran itu sebenarnya sudah termaktub dalam peraturan Kaedah-Kaedah Hutan Negeri Perlis (Pindaan) 2019 serta sudah dikuatkuasa sejak 2020 ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Caj baharu ini pula dikuatkuasakan bermula pada Disember tahun lalu merangkumi kawasan di Rimba Herba Perlis, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam, Taman Negeri Perlis dan View Point Wang Kelian.”

“Oleh itu, masyarakat tidak perlu risau kerana kutipan daripada caj yang dikenakan ini akan digunakan semula untuk aktiviti pembangunan dan penyelenggaraan kawasan ekopelancongan di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis,” katanya.

Wan Badariah berkata pihaknya juga akan terus menambahbaik kemudahan ekopelancongan yang banyak terdapat di negeri itu.

Sebelum ini tular pengumuman kadar bayaran kamera fotografi dan penggambaran di View Point Wang Kelian di mana penggunaan kamera dan perakam video dikenakan sebanyak RM15 bagi warganegara dan RM20 bagi warga asing.

Selain itu juga, bagi tujuan penggambaran filem atau dokumentari, caj yang dikenakan adalah RM500 sehari bagi warganegara dan RM1,000 bagi warga asing dan bagi tujuan fotografi pula dikenakan bayaran sebanyak RM200 sehari bagi warganegara dan RM400 bagi warga asing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini