comscore
Tumpuan :
Nasional

Kadar ketidakpadanan pekerjaan graduan menurun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencatatkan penurunan kadar ketidakpadanan pekerjaan graduan yang signifikan kepada 18.2 peratus pada tahun 2023 berbanding 40.5 peratus tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata penurunan sebanyak 22.3 peratus itu menunjukkan hasil positif pegawai penempatan pekerjaan Perkeso dengan sokongan Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs dalam menempatkan siswazah dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Katanya, pelbagai inisiatif dilakukan kementerian menerusi Perkeso bagi bagi memacu kebolehpasaran graduan sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Antaranya program intervensi awal ke arah kerjaya di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di IPT dan penganjuran Program Career Launchpad (CLP).

“Perkeso turut memperluas fungsi Portal MYFutureJobs dengan menawarkan jawatan kosong bagi tujuan latihan industri untuk membantu pelajar mendapat penempatan.

“Sebanyak 64,836 kekosongan jawatan untuk latihan industri ditawarkan sejak tahun lalu sehingga Mac tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Karnival Kerjaya Sempena Hari Pekerja 2024 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian terus memanifestasikan keberhasilan melalui inisiatif yang holistik serta inklusif bagi memperkasakan pasaran buruh negara dalam rangka memerangi masalah pengangguran dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, penempatan pekerja, penyediaan bantuan kewangan segera dan lain-lain.

“Berdasarkan perangkaan Perkeso dari 2018 sehingga suku pertama tahun ini, seramai 259,754 pekerja diluluskan untuk menerima bantuan kewangan segera melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan 80,521 pekerja yang kehilangan pekerjaan kembali ke alam pekerjaan dan 19,149 orang layak menghadiri latihan vokasional.

“Sementara, seramai 56,698 peserta kembali bekerja sejak 2017 sehingga suku pertama tahun ini melalui program Return To Work (RTW) yang dilaksanakan bagi membantu peserta cedera atau menghidapi penyakit,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 11,101 personel Program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) mendapat pekerjaan sejak inisiatif itu dilaksanakan kementerian menerusi Perkeso, Disember lalu.

Bagi Program Daya Kerjaya 2.0 pula, katanya, sebanyak 1,014 permohonan majikan diterima pihaknya membabitkan pembabitan 1,741 pekerja dengan 862 majikan menerima manfaat untuk 1,447 pekerja untuk tempoh sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini