comscore
Tumpuan :
Nasional

Kadar Tol Akleh, GCE, LKSA, Silk Turun 8 Hingga 15 Peratus

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Kadar tol empat lebuh raya di bawah pengendali lebuh raya bandar terbesar di Lembah Klang, Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), akan diturunkan antara lapan hingga 15 peratus bermula 12.01 tengah malam ini.

Empat lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk).

Prolintas dalam kenyataan memaklumkan, pengurangan kadar tol itu membabitkan kenderaan Kelas Satu (kenderaan yang mempunyai dua gandar seperti kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas); Kelas Empat (teksi) serta Kelas Lima (bas).

Bagi kenderaan Kelas Dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda kecuali bas) dan Kelas Tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih kecuali bas), kadar tol adalah tidak berubah.

“Penurunan kadar tol ini menandakan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.

“Prolintas komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya terbaik pada setiap masa termasuk dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sehingga pengalaman perjalanan semua pelanggan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, Prolintas juga akan terus menyokong usaha kerajaan yang boleh memberi manfaat dan impak positif kepada rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan setuju menstruktur semula konsesi empat lebuh raya kendalian Prolintas, bagi mengurangkan kadar tol di laluan berkenaan berkuat kuasa 20 Oktober ini.

Beliau dipetik berkata, ia sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan masalah kenaikan kos sara hidup.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini