Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Kaedah mengenakan levi mengikut pemilikan kenderaan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi RON95, berisiko menyebabkan keciciran lebih besar dalam kalangan golongan sasar yang boleh dibantu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia kerana berdasarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kira-kira 40 peratus daripada keluarga sasar iaitu B60, tidak mempunyai pendaftaran pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“PADU sudahpun memadankan pemilikan kenderaan dengan semua pendaftaran kenderaan yang ada di JPJ dan saya boleh memaklumkan kepada dewan secara kasarnya sekitar 40 peratus daripada keluarga B60 itu tiada pendaftaran pemilikan kenderaan, jadi kita ada masalah.
“Walaupun di peringkat atas, kata lebih baik menggunakan pendaftaran kenderaan untuk kendalikan penyasaran subsidi, hakikatnya bagi keluarga terbawah mereka sebenarnya tiada pendaftaran kenderaan, kerana satu keluarga mungkin menggunakan motosikal atas nama pendaftaran orang lain.
“Maka untuk menggunakan kaedah pendaftaran itu, risiko keciciran adalah lebih besar,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Rafizi juga memaklumkan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan penggunaan kad pengenalan dan e-dompet dalam pelaksanaan penyasaran subsidi minyak RON95 di stesen-stesen minyak di seluruh negara.
Pengesahan kelayakan seseorang penerima subsidi ini mengambil kira kedudukan sosio ekonomi isi rumah perlu dilakukan sebelum pembelian RON95 dibuat.
“Penentukan kelayakan dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan pelaksanaan mekanisme pembelian RON95 menggunakan dua harga di stesen minyak, akan dibangunkan oleh Kementerian Kewangan.
“Kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selaras dengan garis masa pelaksanaan iaitu menjelang pertengahan 2025,”.
Sebelum ini, katanya, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah memperkenalkan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut daerah di seluruh negara.
Beliau berkata, ia sebagai nilai ambang perbelanjaan sesebuah keluarga mengikut jumlah tanggungan untuk menjalani kehidupan wajar.
“Ia mengambil kira perbelanjaan lebih besar selain daripada kos biasa seperti makanan, perumahan, tenaga dan kos-kos lain untuk sesebuah keluarga menikmati hidup bermaruah termasuk penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Katanya lagi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan mengambil kira dan memperhalusi mekanisme itu susulan cabaran infrastruktur dan capaian internet di seluruh negara.
“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang bakal dihadapi, seperti mekanisme kad pengenalan untuk mengesahkan kelayakan.
“Semua cabaran itu sedang diambil kira dan diperhalusi serta sedang dalam pembangunan di antara Kementerian Kewangan dengan pemain industri dan mereka yang akan melaksanakan perkara ini,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.