comscore
Tumpuan :
Nasional

Kahwin kontrak tidak pernah berlaku di Kelantan – JAHEAIK

Foto hiasan

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) mengesahkan tidak ada sebarang prosedur kahwin kontrak wujud di Kelantan.

Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata semakan juga mendapati bahawa Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK belum pernah menerima aduan berkenaan kahwin kontrak di negeri ini.

Katanya, berdasarkan statistik perkahwinan dengan warga asing di negeri Kelantan yang dikeluarkan oleh JAHEAIK, sejumlah 670 perkahwinan didaftarkan dalam tahun 2019 sehingga tahun 2023 mengikut prosedur biasa jabatan agama dan bukan atas terma kahwin kontrak sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud.- Foto fail NSTP

“Pihak pejabat ini menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan laporan media terhadap wujudnya kahwin kontrak atau nikah mutaah di Kelantan kerana ianya tidak sah dari segi hukum syarak,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Pada masa sama beliau turut menasihatkan pihak media agar lebih berhati-hati menggunakan terma melibatkan hukum-hakam dalam penerbitan mereka.

Terdahulu media melaporkan wanita di Kelantan terutama janda dan anak dara tua beralih memilih lelaki asing sebagai pasangan bagi mengelak stigma masih tidak berkahwin.

Kumpulan wanita itu yang majoritinya stabil dari segi kewangan akan menawarkan kepada bakal pasangan mereka elaun bulanan, tempat tinggal, kereta, motosikal serta peluang perniagaan.

Ganjaran ini adakalanya menjadi sebahagian daripada perjanjian perkahwinan yang dikenali sebagai perkahwinan kontrak apabila pasangan secara tidak rasmi berjanji untuk kekal berkahwin bagi tempoh tertentu.

Loading...
Terkini