comscore
Tumpuan :
Nasional

Kaji semula sebelum laksana cadangan lantik lebih banyak syarikat AP terbuka – PEKEMA

Presiden Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Datuk Mohamed Nazari Noordin- FOTO: Ihsan PEKEMA

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat permit import (AP) terbuka perlu dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya, ujar Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, ini kerana pihaknya bimbang sekiranya syarikat yang dilantik tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi, keadaan ini boleh mengakibatkan kerugian besar kerana kenderaan terpakai mempunyai kadar susut nilai yang tinggi.

“PEKEMA bimbang sekiranya syarikat yang dilantik tiada pengalaman ini boleh mengakibatkan syarikat mengalami kerugian kerana kereta terpakai ini ada susut nilai yang ketara.

“Sehubungan itu, kami mencadangkan supaya cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat AP terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberi maklum balas terhadap pengumuman dasar baharu oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai pelaksanaan Dasar AP Terbuka yang lebih telus dan inklusif, berkuatkuasa 1 Julai ini.

Menerusi dasar baharu itu mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif, dibenarkan memohon menjadi syarikat AP terbuka.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazari berkata, keutamaan perlu diberikan kepada pemain industri yang menunjukkan keupayaan dan pengalaman dalam bidang automotif.

“PEKEMA menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera dalam bidang automotif. Bagaimanapun, kami menegaskan bahawa kawalan yang ketat terhadap jumlah syarikat yang diberi AP terbuka adalah penting untuk memastikan industri automotif kekal berdaya saing.

“Kawalan jumlah syarikat AP terbuka harus dikawal rapi untuk memastikan industri automotif kekal kompetitif. Ini penting bagi mengelakkan lambakan syarikat yang mungkin tidak berdaya saing dalam pasaran.

“Pemilihan yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan hanya syarikat yang mampu menyumbang positif kepada industri automotif yang diberi peluang, dengan penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti.

“Keutamaan harus diberikan kepada syarikat-syarikat yang benar-benar layak dari segi pengalaman dan modal,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini