comscore
Tumpuan :
Nasional

Kajian forensik jalan raya bantu kenalpasti punca kemalangan

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR: Seorang ahli parlimen mencadangkan agar kerajaan membuat satu kajian forensik terhadap jalan raya yang dikenalpasti boleh mengakibatkan kemalangan hingga membawa kematian.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jika isu jalan yang boleh mengakibatkan kematian ini boleh diselesaikan satu persatu, Kerajaan Perpaduan akan didokong oleh masyarakat bandar dan luar bandar dalam tempoh yang lama.

“Saya nak cadangkan kepada pihak kementerian, adakan satu kajian forensik kepada jalan raya yang kita kenalpasti boleh mengakibatkan kemalangan hingga membawa kematian.

 

“Dan kalau boleh kita selesaikan satu persatu, saya fikir Kerajaan Perpaduan adalah merupakan kerajaan yang akan didokong masyarakat bandar dan luar bandar untuk tempoh yang agak lama,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 Kementerian Kerja Raya di peringkat jawatankuasa.

Jalaluddin yang juga bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ramai orang meninggal dunia berpunca daripada jalan yang rosak.

“Bila meninggal dunia, bantuan yang (keluarga) dia tuntut kepada insurans tidak dapat. Insurans ini cari salah apa? Dia kata kereta itu tukar sport rim.

“Selepas itu dia kata bunga tayar kereta tak ada untuk mengelakkan pampasan dibuat. Walhal kesilapan itu kalau kita tengok hukum akal ialah kerana kerosakan jalan raya.

“Jadi kerana itu saya fikir kena berbuat sesuatu. Kita ada JKR (Jabatan Kerja Raya) yang ada di setiap daerah. Saya fikir JKR boleh mengemukakan faktor-faktor yang boleh memberikan kerosakan dan mengakibatkan kehilangan nyawa ini supaya satu persatu dapat diselesaikan,” katanya.

Loading...
Terkini