comscore
Tumpuan :
Nasional

Kajian pemberian subsidi penternak ayam di peringkat akhir

Mohamad Sabu melancarkan produk baharu Ayam Bismi ketika melawat Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat, Alor Setar, hari ini. – Foto NSTP

ALOR SETAR: Kerajaan di peringkat akhir bagi menentukan kaedah berkesan dalam pemberian subsidi kepada penternak ayam daging dan ayam penelur sebelum dilaksanakan semula.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata keputusan mengenai perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat sebelum pengumuman mengenainya dibuat.

“Perkara itu sedang dibincang di peringkat beberapa kementerian, kita kena duduk bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta beberapa kementerian berkaitan lain.

“Subsidi kepada penternak ini sudah lama berjalan dan ada permintaan supaya dikaji subsidi ini supaya pergi kepada subsidi bersasar. Ini di peringkat kajian akhir, ia akan diumumkan pada masa terdekat, nantilah keputusan itu,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Jualan Ayam Bismi di Simpang Empat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam hingga Disember 2022 pada kadar 80 sen sekilogram (kg) bagi ayam daging dan lapan sen bagi sebiji telur.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika itu dilaporkan berkata keputusan itu dibuat bagi meringankan beban penternak susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan terutama kos makanan ayam yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos anak ayam, logistik, pekerja, utiliti dan ubatan.

Mengulas lanjut, Mohamad turut memberi jaminan kerajaan akan memastikan subsidi sampai kepada penternak yang terbabit secara langsung dalam industri berkenaan.

“Kita akan pastikan subsidi sampai kepada pemain industri, jika kita terima aduan subsidi ini tidak sampai, maka pegawai kita akan bertindak,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini