KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak, memandangkan lat tempoh lapan tahun negeri itu berakhir pada 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, terdapat peruntukan ditetapkan Perlembagaan perlu dipatuhi berdasarkan prinsip persempadanan yang dipegang oleh SPR.
“Pertama, kemudahan diadakan bagi pemilih keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.
“Kedua, mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.
“Ketiga, jumlah pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan.
“Keempat, mengekalkan hubungan masyarakat tempatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan oleh Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta kerajaan menyatakan pelan tindakan dan garis masa SPR untuk mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak.
Mengulas lanjut, Azalina berkata SPR perlu menjalankan urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan mahupun negeri berlandaskan kepada prinsip serta tatacara persempadanan ditetapkan di Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, ia termasuk menurut kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
“Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.