comscore
Tumpuan :
Nasional

Kaki lalok pecah masuk dua rumah, larikan kereta mangsa

Keadaan dua buah kereta mangsa yang dijumpai semula selepas dilarikan suspek. – Foto: PDRM.

SEREMBAN: Padah tamak, seorang suspek ditangkap tidak sampai sejam selepas memecah masuk sebuah rumah dan melarikan kereta mangsa.

Lebih memeranjatkan apabila itu adalah rumah dan kereta kedua dipecah masuk dan dilarikan suspek dalam tempoh tiga jam.

Kejadian berlaku di Taman Yoon Chan dan Taman Layang-Layang dekat Rahang di sini.

Siasatan mendapati suspek bertindak sendirian.

Dalam kedua-dua kejadian, suspek turut mencederakan mangsanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata tindakan pantas polis berjaya menahan suspek seorang lelaki kira-kira jam 1 pagi tadi.

“Jam 9 malam tadi, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 53 tahun yang mengatakan rumahnya di Taman Yoon Chan dipecah masuk. Mangsa juga dipukul suspek dan kereta jenis Perodua Myvi miliknya dibawa lari,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Menurutnya, tiga jam selepas itu iaitu lebih kurang jam 12.12 tengah malam, satu lagi kejadian samun dilaporkan berlaku di Taman Layang-Layang membabitkan mangsa lelaki berusia 39 tahun.

Ujarnya, mangsa mengatakan dicederakan dan keretanya jenis Nissan Sentra juga dilarikan suspek yang berusia 32 tahun itu.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua buah rumah yang dimasuki suspek tidak berkunci.

“Suspek telah berjaya ditahan jam 1 pagi dan turut ditemui dua kenderaan tersebut, tapi mengalami kerosakan,” katanya.

Kata Arifai, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan hasil saringan air kencing suspek juga adalah positif methamphetamine.

Tambahnya, suspek direman enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dengan tertangkapkanya suspek dalam kes ini, polis telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun di sekitar daerah ini,” katanya.

Loading...
Terkini