Tumpuan :
Dunia Seni

Kaki palsu untuk ibu jika menang OIAM – Peserta

Syamsul Anuar Ismail, peserta uji bakat One In A Million.

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: “Kalau menang, saya nak beli kaki palsu untuk mak.”

Itu kata salah seorang peserta uji bakat program One in A Million, Syamsul Anuar Ismail yang berlinangan air mata ketika menyampaikan hasrat dan impian murninya sekiranya memenangi program berkenaan.

Menceritakan kisahnya, ketika doktor membuat keputusan untuk memotong kaki ibunya akibat penyakit kencing manis, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana sedang bekerja di Singapura pada waktu itu.

Selepas insiden itu, peserta berusia 37 tahun ini tidak pernah berputus asa mencari rezeki dan peluang untuk menghadiahkan kaki palsu untuk ibunya, agar dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.

“Mandi, makan dan segala keperluan harian semuanya memerlukan bantuan daripada saya. Melihat keadaan beliau yang memerlukan sokongan setiap masa membuatkan saya semakin tekad untuk melakukan yang terbaik demi ibu saya.

“Hasrat saya adalah untuk mengubah hidup insan syurga ini, memberikan beliau kebahagiaan dan keselesaan yang selayaknya, kerana bagi saya, pengorbanan beliau selama ini tiada tandingannya.

“Kaki palsu itu bernilai hingga RM20,000. Saya sudah membuat kajian dan mendapati ini adalah pilihan yang terbaik dari segi kualiti untuk ibu saya. Dengan sokongan kaki palsu ini, saya berharap dapat membantu beliau berjalan kembali dengan lebih selesa dan yakin,” katanya.

Tambahnya, kaki palsu itu bukan sekadar alat bantu tetapi ia lebih kepada usaha untuk memulihkan semula kebebasan ibunya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik selepas segala pergorbanan yang dilakukan ratu hidupnya.

Justeru jika terpilih, peserta kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mahu menggunakan wang kemenangan untuk membahagiakan keluarganya.

“Jika terpilih dan berpeluang mara ke peringkat akhir, dan dengan izin rezeki untuk menjuarai OIAM kali ini, saya akan menggunakan wang kemenangan itu sebaik mungkin selain untuk mengubah kehidupan seluruh ahli keluarga saya,” ujarnya.

Malah, ketika dia menyampaikan hasratnya itu, juri-juri turut sebak mendengarkan niat murninya itu.

Sebelum ini, Syamsul pernah menyertai Mentor musim kelima pada 2010 bersama Ajai dan juga Amir Jahari.

Selepas itu, beliau tetap tidak berputus asa dan berazam untuk menyertai Mentor Legend.

Namun begitu, nasib tidak menyebelahi beliau apabila terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sehingga menyebabkan pehanya patah.

Akibat kejadian itu, dia bukan sahaja tidak dapat meneruskan uji bakat tersebut, malah terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu.

Setelah pulih, barulah dia dapat kembali menyertai pertandingan nyanyian seperti ini.

Siang tadi, hasil daripada usaha gigih dan semangat yang tidak pernah luntur itu membuahkan hasil – apabila dia berjaya mengungguli uji bakat di Pulau Pinang sehingga berjaya melayakkan dirinya ke peringkat seterusnya.

Terdahulu, Calpis Soda, minuman kultur berkarbonat berperisa baharu di Malaysia, mengumumkan kembalinya program realiti ikonik, One In A Million (OIAM) selepas 15 tahun.

Program itu hadir dengan format baharu yang segar dan ganjaran luar biasa untuk memberi inspirasi kepada pemuzik berbakat di seluruh negara.

Ini lantas memperkukuh kedudukan OIAM sebagai pertandingan pencarian paling unggul negara.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000, sebuah kereta dan kontrak rakaman bernilai RM400,000 selain juga berpeluang bekerjasama dengan artis dari Indonesia.

Uji bakat Calpis Soda One In A Million hari ini dan esok diadakan di Aras 5, Sabah International Convention Centre (SICC) dan Hotel Atrium, Sunshine Central Penang dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Manakala uji bakat ketiga bakal diadakan di AEON Hall Aras 4, AEON Mall Shah Alam dan Blok D, Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya pada 16 dan 17 November ini juga dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini