Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah mengenal pasti individu yang terlibat dalam insiden kekasaran di kawasan ruang rehat NTL (not to land) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, individu itu merupakan kakitangan syarikat pengendali kawasan berkenaan, AeroDarat Services Sdn Bhd (AeroDarat).
Tindakan yang diambil, kata Loke, ialah menggantung tugas kakitangan terbabit serta-merta, dan diberikan surat tunjuk sebab.
“Saya diberikan laporan bahawa kakitangan yang terlibat dalam insiden itu ialah kakitangan daripada AeroDarat.
“Individu tersebut menyatakan bahawa ada provokasi daripada penumpang NTL menyebabkan dia pun ada sentuhan fizikal dan menggunakan kata-kata kesat,” katanya dalam sidang media di Parlimen semalam.
Loke juga menegaskan, dalam apa keadaan sekali pun, tindakan kakitangan AeroDarat itu tidak dapat dipertahankan kerana bertindak secara tidak profesional.
“Kakitangan itu telah digantung tugas dan diberikan surat tunjuk sebab sementara menunggu siasatan menyeluruh dibuat oleh pihak pengurusan,” katanya.
Loke turut memaklumkan, ruang rehat NTL tidak diuruskan oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mahu pun Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB).
“Seseorang warga asing yang ditolak oleh JIM (diberikan status NTL) atas sebarang sebab, mereka perlu dihantar balik.
“Tanggungjawab menguruskan penghantaran NTL itu diletak di bawah syarikat penerbangan. Ini memang satu piawaian antarabangsa. Semua lapangan terbang antarabangsa pun sama.
“Syarikat pengendali penerbangan perlu bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 25 saat yang memaparkan insiden pergaduhan di KLIA Terminal 1 membabitkan dua individu, dengan polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata dalam apa juga situasi, petugas tersebut seharusnya bertindak secara profesional walaupun berdepan dengan penumpang yang kurang sopan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.