KUANTAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memantau kemungkinan kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpengaruh dengan ajaran dan doktrin diperjuangkan GISB Holdings (GISBH).
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, setakat ini, kementerian itu tidak menerima sebarang maklumat berkaitan pembabitan organisasi terbabit.
Katanya, setiap minggu pada Mesyuarat Kabinet, perkara itu akan dibentangkan dan tiada maklumat yang diterima mengenai pembabitan kakitangan IPT atau pelajar dengan GISBH.
“Setakat ini, belum ada berdasarkan maklumat yang diterima tetapi kita sedang memantau termasuk di peringkat KPT juga tiada maklumat setakat minggu lalu.
“Namun, kita tunggu Rabu ini dan jika ada maklumat untuk kita ambil tindakan bersama,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Simposium Elsevier-Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Ketiga bersempena Hari Akademia 2024, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kementerian itu akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis jika terdapat pensyarah atau pelajar IPT terbabit dengan ajaran dalam GISB Holdings.
Katanya, langkah itu untuk memastikan IPT bebas daripada sebarang bentuk dakyah dibawa GISBH.
“Perkara ini dalam bidang kuasa polis yang bentuk satu pasukan khas bagi melaksanakan tanggungjawab diberikan,” katanya.
Mengulas penganjuran Simposium Elsevier-MTUN anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Mustapha berkata, kementerian itu sentiasa menyokong inisiatif memperluas kecerdasan buatan (AI) terutama dalam sains, teknologi, dan kejuruteraan di IPT bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan penyelidikan dalam MTUN.
“KPT akan terus memberi galakan kepada universiti di negara ini untuk menggunakan pendekatan AI dalam akademik dan penyelidikan selaras dengan kecanggihan teknologi dan peredaran masa selain ia perlu disokong kepakaran dalam bidang terbabit.
“Kerjasama Elsevier-MTUN dalam akses pangkalan data seperti Scopus, ScienceDirect dan alat seperti Mendeley ini bakal meningkatkan kualiti penyelidikan dan pembelajaran dalam menghasilkan karya ilmiah serta memudahkan kerjasama antara penyelidik,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa