comscore
Tumpuan :
Nasional

Kakitangan PLUS dijangkiti Covid-19

Oleh Mieza Shafieza Mohd Fuad

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan seorang kakitangannya di Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) positif jangkitan COVID-19.

Menerusi satu kenyataan, PLUS memaklumkan kakitangan terbabit adalah Pembantu Khidmat Pelanggannya, yang ketika ini sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan kerajaan.

“Semua kakitangan yang mempunyai hubungan rapat dengan kakitangan terbabit sudah diarahkan untuk menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan serta dikuarantin.

“Kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan diadakan di plaza tol yang terbabit. Sehubungan dengan itu, Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) menghala ke Lebuhraya ELITE akan ditutup sementara mulai jam 12:01 pagi hingga 11:59 malam pada 19 Mac (Khamis) untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan.

“Pelanggan dari Shah Alam, Batu Tiga serta kawasan sekitar yang menghala ke KLIA, Putrajaya dan selatan dinasihatkan supaya memasuki lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Shah Alam atau Seafield sepanjang tempoh penutupan tersebut,” katanya, hari ini.

PLUS turut menasihati semua pelanggan lebuhraya supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan dalam usaha menangani jangkitan Covid-19.

Kaedah terbaik adalah menerusi penjarakkan sosial dan mengelakkan tempat sesak.

“Oleh itu, semua R&R PLUS pada ketika ini hanya menyediakan jualan makanan secara bungkus dan semua medan makan ditutup bagi mengelakkan pelanggan berkumpul.

“Selain itu, pelanggan yang beragama Islam dinasihatkan supaya membawa sendiri kelengkapan beribadat seperti sejadah, kain pelikat ataupun telekung untuk solat di surau R&R.

“Pengunjung R&R yang berhenti untuk membeli makanan hendaklah beratur di dalam jarak 1 meter di antara satu dan lain. Hanya seorang wakil dari setiap kenderaan dibenarkan untuk keluar membeli makanan dari gerai R&R bagi pihak penumpang yang lain,” katanya.

Loading...
Terkini