comscore
Tumpuan :
Nasional

Kamera badan PDRM dijangka mula digunakan pada Jun – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Penggunaan kamera badan dalam operasi harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka bermula Jun ini selepas penghantaran pertama peralatan berkenaan dilakukan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah meminta pelaksanaan penggunaan kamera badan dalam operasi harian PDRM disegerakan tanpa menunggu sehingga ke tahun depan.

“Bajet sudah lama tersedia namun proses perolehan berubah-ubah beberapa kali,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama 14 syarikat tempatan bernilai RM2.1 bilion membabitkan perolehan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Majlis diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Saifuddin berkata, beliau sudah pun meminta untuk diselesaikan segera penghantaran kamera badan dan jangkaan perolehannya mengikut garis masa ditetapkan.

“Penghantaran pertama harus berlaku dalam bulan Jun tahun ini juga,” katanya.

Pada 21 Februari lalu, Saifuddin dilaporkan berkata sebanyak 7,648 kamera badan yang akan dipasang pada anggota polis yang dianggarkan bernilai antara RM2,000 dan RM2,500 setiap satu.

Perolehan kamera badan itu adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Ia akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini