comscore
Tumpuan :
Nasional

Kami boleh gulung tikar jika caj komisen tidak dikurangkan

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail (duduk tengah) bersama pengusaha bas ekspres lain dalam sidang media berkenaan ‘Centralized Ticketing System (CTS) di Kuala Lumpur. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) mahu caj komisen jualan tiket oleh Centralised Ticketing System (CTS) dikurangkan kepada lima peratus.

Yang Dipertua PEMBAWA, Laili Ismail berkata ketika ini pengusaha bas ekspres terpaksa membayar komisen sebanyak 10 peratus atau purata kira-kira RM5 untuk setiap keping tiket yang dijual melalui terminal bas.

Katanya, caj itu membebankan pengusaha bas kerana terpaksa memperuntukkan ratusan ribu ringgit sebulan untuk tujuan komisen sahaja.

“Jika setiap hari pengusaha bas menjual 1,000 keping tiket, maka komisen setiap hari dianggarkan RM5,000 perlu dibayar kepada CTS. Ini tidak termasuk kos-kos lain lagi seperti bahan api, bayaran tol dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu beliau berkata setiap pengusaha bas juga diwajibkan membayar caj masuk terminal sebanyak RM13,000 sehingga RM18,000 sebulan kepada CTS.

Katanya, sebelum ini pengusaha hanya perlu membayar sewa kedai untuk menyediakan kaunter jualan tiket dan membayar gaji jurukaunter yang menelan belanja sekitar RM5,000 sebulan.

“Hal ini selari dengan objektif pelaksanaan CTS yang sebelum ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur terminal yang lebih sistematik dan selesa kepada pengusaha dan pengguna bas ekspres,” katanya.

Laili berkata selain mengenakan caj komisen yang tinggi dan caj masuk terminal, CTS juga gagal menjelaskan bayaran hasil jualan tiket dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, ketika ini pengusaha bas ekspres terpaksa menunggu bayaran jualan tiket dalam masa tujuh sehingga 19 hari dan tempoh itu terlalu lama.

Jelasnya, hal itu telah menggangu operasi syarikat dan tidak sepatutnya berlaku kerana jualan tiket oleh CTS adalah secara tunai atau transaksi bank.

Justeru beliau mahu supaya kerajaan campur tangan dalam hal berkenaan dan mengetatkan penguatkuasaan dalam memastikan pengurusan CTS berada pada landasan yang sepatutnya.

Katanya, PEMBAWA juga mahu kerajaan menetapkan satu garis panduan khusus untuk rujukan CTS dan memastikan tiada mana-mana pihak terkesan dengan pelaksanaan sistem itu yang sudah 70 peratus dilaksanakan di terminal seluruh negara.

“Pelaksanaan CTS ini seolah-olah menjadi ‘pembunuh senyap’ kepada pengusaha bas ekspres. Dalam situasi sekarang, kami amat tersepit dan terbeban dengan kos yang dikenakan kerana perkhidmatan yang diberikan amat mengecewakan,” katanya.

Jelasnya, jika situasi ini berlanjutan, operator bas ekspres berdepan dengan penutupan operasi serta boleh menyebabkan operasi CTS terganggu.

“Selain itu, ribuan pekerja bakal hilang pekerjaan malah rakyat juga tidak lagi dapat menikmati kemudahan bas ekspres seperti sekarang ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini