comscore
Tumpuan :
Nasional

“Kami hairan air datang dari mana’ – Mangsa banjir

Keadaan rumah Marila yang masih ditelenggami air di Kampung Talang Bunut, di sini. – FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Penduduk di Kampung Talang Bunut di sini hairan rumah mereka kembali ditelenggami banjir meskipun cuaca semakin baik.

Salah seorang mangsa banjir, Marila Ibrahim, 63, berkata dia dan suaminya, Mohamad Ibrahim, 71, menggunakan pam untuk mengeluarkan air namun apabila surut, air naik semula.

Marila bersama suaminya kini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut, di sini sejak Ahad lalu selepas rumahnya di Kampung Talang Bunut ditenggelami air.

Katanya, kejadian banjir melanda rumahnya adalah yang kedua selepas awal tahun lalu namun tidak seteruk ketika kediamannya ditenggelami air dalam banjir besar melanda daerah ini, Mac tahun lalu.

Kejadian itu, menurutnya yang menyebabkan dia menanggung kerugian besar kerana kesemua barangan dalam rumah rosak.

“Kami cubalah untuk keluarkan air menggunakan pam, namun air tetap naik. Walaupun air sekitar rumah dah surut selepas dipam, tiba-tiba air naik semula.

“Kami bimbang jika banjir termenung melanda kerana kawasan ini antara yang berisiko dilanda bencana itu.

“Walaupun tidak seteruk banjir besar sebelum ini, setiap kali hujan rumah kami antara yang dinaiki air kerana bersebelahan Sungai Sembrong,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi mangsa banjir, Asmah Jalani, 62, dia bersama ibunya, Rugayah Lamon, 85, masih berlindung di PPS memandangkan air tidak menunjukkan perubahan.

Katanya, walaupun cuaca bertambah baik namun paras air di dalam dan luar rumah tidak surut sekali gus menghalang hasrat dua beranak itu pulang ke rumah.

“Kami tidak dibenarkan pulang ke rumah dulu kerana bimbang air naik lagi. Memang cuaca bertambah baik namun mereka (pihak berkuasa) bimbang jika hujan berkemungkinan banjir datang kembali.

“Mujurlah ada adik lelaki, Zuraini, 55, menjaga rumah ketika ini untuk elak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Bagi Faridah Jaslan, 64, dia bersama anak lelakinya yang juga orang kelainan upaya (OKU) pertuturan dn pendengaran, Mohd Kharruddin Ibrahim, 40, dipindahkan ke PPS dua hari lalu selepas rumahnya mula dinaiki air.

“Kami dua beranak tawakal apa yang berlaku ketika ini kerana ini ujian Allah. Tadi saya bersama anak pulang untuk menjenguk rumah tapi ada penduduk beritahu, air masih naik.

“Sewaktu banjir besar, saya masih ingat air naik paras dada dengan barang dalam rumah berpusing-pusing disebabkan arus,” katanya dari Kampung Parit Nipah Laut.

Setakat jam 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir kekal 17 orang yang ditempatkan di PPS membabitkan tiga buah kampung iaitu Kampung Talang Bunut, Olak Batu, Parit Nipah Laut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini